Johor pantau isu kasut “kalimah Allah”

JOHOR BAHRU 7 April – Sejumlah kasut wanita yang mempunyai tulisan menyerupai kalimah Allah pada tapak kasutnya, dirampas dalam serbuan bersepadu yang diadakan, petang tadi bagi tujuan siasatan lanjut,

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata pemantauan dilakukan susulan tular media sosial berkenaan dakwaan terdapat rekaan yang dikatakan mirip kalimah Allah pada tapak kasut jenama tempatan.

Katanya, pemantauan dan semakan telah diarahkan dilakukan di pusat-pusat membeli belah di negeri ini ke atas penjualan kasut berkenaan.

“Pemantauan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM); Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Johor.

Dalam pemantauan itu sejumlah pasang kasut yang dipercayai mempunyai tulisan menyerupai kalimah Allah pada tapak kasut wanitanya, telah dirampas bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Hari ini, Ketua Polis Negara,  Razarudin Husain dilaporkan berkata, satu laporan polis dibuat di Pulau Pinang berhubung tulisan menyerupai kalimah Allah pada tapak kasut wanita yang dikesan tular dalam laman sosial Facebook.

Laporan dibuat seorang guru di sebuah sekolah kebangsaan di Kepala Batas, selepas melihat satu hantaran di laman Facebook atas nama Hidayah Sani, yang berkongsi maklumat mengenai tulisan kalimah Allah pada tapak kasut wanita, awal pagi tadi.

Razarudin dilaporkan berkata, pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Dua di Butterwoth, sebaik mengesan hantaran yang dikongsi itu.

Terdahulu, pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya yang pada pandangan mereka disalah tafsir hingga menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Related posts

Leave a Comment