SIBU 7 April – Parti Sarawak Bersatu (PSB) dibubarkan dan ahlinya kini menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) pimpinan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.
Susulan pembubaran itu, bekas Presiden PSB, Wong Soon Koh, dilantik sebagai Naib Presiden Kanan PDP.
King Sing, berkata mesyuarat Majlis Tertinggi PDP malam tadi juga sebulat suara melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa, dan ADUN Ba’kelalan, Baru Bian, sebagai Naib Presiden PDP.
Beliau berkata, pelantikan Soon Koh adalah mengikut perlembagaan parti setelah mengambil kira pengalaman luas yang beliau miliki.
Berucap pada majlis jamuan malam untuk mengalu-alukan ahli PSB menyertai PDP, di sini, King Sing berkata, kedudukan bekas pemimpin PSB yang lain akan ditentukan pada Mesyuarat Agung Khas parti.
King Sing berharap semua ahli PDP menerima bekas pemimpin serta ahli PSB terbabit, sekali gus menjadi sebuah keluarga besar yang memberikan khidmat demi pembangunan Sarawak dan masa depan rakyat tanpa mengira kaum mahupun agama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg yang merestui dan menyokong usaha PDP menerima bekas pemimpin serta ahli PSB.
Selain PDP, parti komponen dalam GPS membabitkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Berikutan perkembangan terbaru itu, GPS kini menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN di Sarawak.
Sementara itu, Soon Koh dalam ucapannya berkata, rakyat memerlukan kerajaan yang kuat pada peringkat Persekutuan dan juga negeri.
“Oleh itu, kami memutuskan untuk menyokong Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kerajaan negeri bawah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata, PSB dibubarkan selepas Persidangan Khas Perwakilan pada 17 Februari lalu dengan permohonan pembubaran dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 11 Mac.
Katanya , PSB telah menerima surat kelulusan pembubaran daripada ROS pada 19 Mac lalu.
NNNN
