9,000 pesakit perlu rawatan kecemasan

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 9,000 pesakit di Semenanjung Gaza memerlukan pemindahan untuk rawatan kecemasan, ketika hanya 10 hospital yang berfungsi secara minimum.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata beribu-ribu pesakit gagal mendapat penjagaan kesihatan berikutan 10 hospital yang ada hampir tidak berfungsi berbanding terdapat 36 hospital di Gaza sebelum perang.

“Sekitar 9,000 pesakit perlu dipindahkan segera ke luar negara untuk perkhidmatan kesihatan termasuk rawatan kanser, kecederaan akibat tembakan, dialisis buah pinggang dan penyakit kronik lain,” katanya.

Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas selepas serangan 7 Oktober dan mengebom Gaza tanpa henti, merosakkan banyak kemudahan penjagaan kesihatan yang menyediakan perlindungan untuk beribu-ribu yang kehilangan tempat tinggal atau melarikan diri dari pertempuran.

Gaza tertakluk kepada sekatan yang hampir lengkap dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan yang diperlukan oleh 2.4 juta penduduk yang kebanyakannya berkumpul di Rafah di hujung selatan wilayah itu.

Tedros berkata, setakat ini, lebih 3,400 pesakit sudah dirujuk ke luar negara melalui Rafah, termasuk 2,198 cedera dan 1,215 sakit, tetapi ramai lagi yang perlu dipindahkan.

“Kami menggesa Israel untuk mempercepatkan kelulusan untuk pemindahan, supaya pesakit kritikal boleh dirawat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment