80,000 kemuka rayuan tunai haji

SEPANG 2 Mei – Kuota haji hanya 31,000, mungkin sudah dipenuhi tetapi Lembaga Tabung Haji (TH) menerima lebih 80,000 rayuan bagi musim haji 1445H/2024M yang dibuka mulai 26 Januari lepas dan akan ditutup pada 8 Mei ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, TH masih melihat jika ada kekosongan kuota dan akan mengisi dengan permohonan rayuan yang ada.

“Dari segi kekosongan ia agak terhad, jadi kita akan utamakan rayuan mahram dahulu,” katanya kepada pemberita di majlis pelepasan petugas haji di sini hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saleh menasihati orang ramai yang ingin menunaikan ibadah haji supaya berhati-hati dengan tawaran visa furada dengan perlu memastikan kesahihannya bagi mengelak ditipu.

Katanya, visa itu bukan mudah diperoleh tetapi ada pihak tertentu menjadikannya bahan niaga sehingga mendakwa mempunyai 100 hingga 200 visa untuk dijual.

Beliau berkata, visa ini sebenarnya dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi dan Jabatan Haji Arab Saudi untuk diberikan kepada pihak tertentu yang memohon serta diluluskan.

Syed Saleh berkata, beberapa kes jemaah terkandas di negara ini sebelum berlepas ke Tanah Suci atau mereka yang sudah tiba di Tanah Suci tetapi tidak memiliki visa sah perlu dijadikan iktibar oleh rakyat di negara ini.

Katanya, terdapat beberapa visa dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi seperti visa pelancong, umrah, kerja, perniagaan dan semua ini tidak boleh digunakan untuk mengerjakan ibadah haji kerana melanggar undang-undang di sana termasuk hukum Islam.

“Setakat ini masih belum ada jemaah haji Malaysia diterbangkan menggunakan visa Furada, ia dijangka hanya bermula selepas dua minggu penerbangan jemaah visa haji,” katanya.

Untuk rekod, pada 29 Mac lalu, iaitu selepas lima tahun,seramai 25 individu memperoleh kembali wang berjumlah RM634,400 iaitu baki pemulangan bayaran pakej haji menggunakan visa furada daripada sebuah syarikat ejen pelancongan

Individu terbabi terdiri daripada 15 plaintif iaitu yang menerima e-visa, dan sudah berlepas ke Jeddah, tetapi terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz pada tahun 2019 kerana menggunakan e-visa palsu dan diarahkan pulang ke tanah air.

Kumpulan kedua terdiri daripada 10 lagi plaintif, iaitu jemaah yang tidak menerima e-visa dan tidak berlepas ke Jeddah tetapi sudah menjelaskan semua bayaran pakej haji.

Dalam keputusan kes saman dikemukakan semua 25 plaintif terhadap Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn Bhd (HSTT), Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Alice Loke Yee Ching  memutuskan melalui aplikasi Zoom, bahawa plaintif berjaya membuktikan tuntutan terhadap syarikat ejen pelancongan terbabit.

Mengikut pernyataan tuntutan, pada awal 2019, plaintif dipelawa menyertai pakej mengerjakan ibadah haji dengan menggunakan visa furada dan jaminan pulangan wang sepenuhnya jika pakej haji itu gagal. Mereka kemudian menjelaskan keseluruhan jumlah bayaran pakej yang berbeza antara satu sama lain.

Pada 31 Julai 2019, HSTT memaklumkan, e-visa sudah dikeluarkan bagi sebahagian jemaah termasuk kepada 15 plaintif, manakala jemaah yang tidak menerima e-visa dipelawa dan didorong memperoleh visa melalui kuota Visa Raja Salman dengan membuat bayaran sebanyak RM7,000 setiap orang.

Jemaah yang menerima e-visa kemudian memulakan perjalanan ke Jeddah pada 5 Ogos 2019 tanpa diiringi mutawif.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah, semua 26 jemaah termasuk 15 plaintif gagal melepasi kaunter imigresen selepas imbasan dibuat terhadap e-visa berkenaan memapar identiti individu berbeza.

Selepas 24 jam ditahan dan terpaksa tidur di atas lantai serta kerusi, semua jemaah diarahkan pulang ke Malaysia pada 7 Ogos 2019. Semua 26 jemaah juga wajib melaksanakan Tahallul Ihsar (denda) kerana tidak dapat menyempurnakan ibadah haji yang sudah diniatkan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment