TH bersedia hadapi bencana di Tanah Suci

SEPANG 2 Mei –  Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai program pengurusan bencana yang didokumen dan sentiasa dipraktikkan melalui simulasi sebagai persediaan berdepan sebarang bencana tidak diingini di Tanah Suci pada musim haji tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Syed Saleh Syed Abd Rahman, berkata pihaknya juga turut berbincang dengan semua pemegang taruh sama ada di Malaysia dan Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah dan urusan haji tidak terjejas akibat bencana yang berlaku.

Beliau berkata, sebelum ini jemaah haji Malaysia pernah berdepan banjir kilat di Tanah Suci dan masalah itu dapat ditangani dengan baik.

“Jemaah Malaysia pernah berdepan hujan lebat, kilat, petir dan banjir kilat pada 2004, 2008, 2016 dan 2018 yang berlaku di Makkah, Arafah dan Mina yang semuanya dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyantuni 150 petugas TH termasuk pengamal media yang digerakkan ke Arab Saudi bagi membuat persediaan awal di Hotel Movenpick di sini, hari ini.

Media Saudi melaporkan bencana banjir kilat yang berlaku di bahagian utara Arab Saudi Selasa lalu, yang menyebabkan penutupan sekolah dan jalan, manakala Pusat Meteorologi Kebangsaan Saudi (NCM) mengeluarkan amaran perjalanan.

Menurut laporan yang tular di media sosial,  banjir kilat yang bermula Isnin lalu melanda wilayah Al-Ula dan Madinah menyebabkan banyak kenderaan hampir tenggelam dan dihanyutkan arus deras.

Sementara itu, Syed Saleh turut mengingatkan jemaah Malaysia yang menunaikan haji supaya sentiasa menjaga diri disebabkan Arab Saudi ketika ini dilanda cuaca panas menghampiri 48 hingga 50 darjah Celsius.

Katanya, kesihatan adalah perkara penting untuk dijaga bagi memudahkan jemaah menunaikan ibadah haji dengan sempurna.

Jemaah dinasihatkan tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas dan minum air secukupnya bagi mengelak diserang strok haba kerana cuaca panas ini juga berisiko kepada mereka yang mengalami penyakit lain.

“TH juga ada menyediakan klinik dan hospital di maktab serta khemah penginapan dan bagi jemaah yang berdepan masalah kesihatan boleh berjumpa doktor di sana,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment