MAIWP taja 10,000 pulang raya di kampung

KUALA LUMPUR 30 Mac – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menaja perjalanan pulang 10,000 mahasiswa dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar Lembah Klang, ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Aidilfitri.

Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata menerusi program Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa itu, MAIWP memperuntukkan lebih RM1.6 juta.

Katanya, lapan universiti terlibat iaitu Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP  (2,040 pelajar), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) (1,560), Universiti Malaya (UM) (1,800), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) (1,140).

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing 1,120 pelajar, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) (794) dan Kolej Islam Antarabangsa (KIA) (426).

Sumbangan ini merangkumi bantuan tiket bas, bantuan tiket kapal terbang dan wang saku bernilai RM100 seorang dengan melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM1.628 juta.

Berucap melancarkan program itu di UPTM di sini malam tadi, beliau berkata perjalanan pertama ini sahaja, sebanyak 25 bas yang membawa 880 pelajar telah menuju ke Melaka, Johor, Perak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang dan Kelantan selain 600 pelajar diterbangkan ke Sabah dan Sarawak, Rabu lepas.

“Gunalah peluang cuti raya ini dengan penuh manfaat, bergembira bersama keluarga. Hari Raya adalah masa untuk mengerat hubungan keluarga dan sillaturrahim. Ingatlah untuk sentiasa bersyukur atas nikmat yang telah diberikan oleh Allah SWT,” katanya.

Syed Kamarulzaman juga memberitahu, pihaknya turut meneruskan inisiatif ‘Gerobok Rezeki’ di sekitar Lembah Klang pada tahun ini dengan kerjasama Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia yang bertujuan membantu masyarakat terutamanya yang terjejas untuk mendapatkan barangan keperluan harian secara percuma.

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan sejak 2019 itu, adalah untuk memberi sumbangan berbentuk makanan asas serta peralatan belajar dan barangan kebersihan diri bagi tempoh setahun kepada 10 universiti dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Antara universiti terlibat adalah UM, UPNM, UPTM, UKMKL, KIA, UTMKL, Politeknik Kuala Lumpur, Universiti Sains Islam Malaysia Kuala Lumpur, Kolej Queens Kuala Lumpur dan Universiti Kuala Lumpur.

Related posts

Leave a Comment