200 anak muda ditawar umrah percuma

KOTA BHARU 30 Mac – Dua ratus anak muda bujang berpeluang menunaikan ibadah umrah secara percuma bersama Andalusia Travel jika mereka menghadiri solat jemaah tanpa gagal selama sebulan di Masjid Imanul Fai’zin, Kampung Padang Kala, di sini.

Inisiatif itu akan bermula selepas Ramadan ini dan ia terbuka kepada anak muda yang tinggal di Kelantan dengan syarat berjemaah di masjid berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd. Ibrahim Mat Sin berkata, penyertaan terbuka kepada mereka yang berusia 20 hingga 35 tahun dan wajib hadir untuk solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Katanya, sebagai bukti kehadiran, pihak masjid akan menyediakan ‘punchcard’ yang akan merekodkan kehadiran mereka.

Beliau berkata, pihak pengurusan memilih tiga waktu solat ini kerana faham akan situasi peserta yang mungkin tidak sempat ke masjid atas urusan kerja dan sebagainya ketika Zuhur dan Asar.

“Tetapi biasanya tiga waktu ini adalah masa lapang yang membolehkan mereka berjemaah ” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemberian Zakat dan Berbuka Puasa Bersama Asnaf dan Kariah di masjid berkenaan malam semalam.

Masjid Imanul Fai’zin yang menelan kos RM7.5 juta itu dibina oleh Andalusia Travel, syarikat pengendali umrah haji dan percutian terkemuka negara dan pembinaannya adalah di kawasan yang pernah menjadi tempat bermain Ibrahim semasa kecil.

Pembinaannya mengambil masa lima tahun dan mula diimarahkan pada 1 Ramadan yang lalu

Ibrahim yakin program itu akan mendapat sambutan daripada anak-anak muda Kelantan khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran dan pada masa yang sama ia secara tidak langsung dapat menggalakkan anak-anak muda ke masjid.

Untuk rekod Andalusia Travel sebelum ini sudah menjalankan program ibadah umrah secara percuma yang melibatkan kumpulan asnaf.

Related posts

Leave a Comment