Israel, Hamas ‘tolak’ resolusi UNSC

KAHERAH: Resolusi yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mendapat reaksi negatif apabila Israel dan Hamas mahukan syarat masing-masing bagi gencatan senjata menyeluruh di Gaza dipenuhi.

Hamas berpegang kepada syor asalnya iaitu mahu tentera Israel berundur sama sekali dari Gaza dan memastikan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal kembali semula ke wilayah berkenaan.

Di samping itu, Hamas turut menuntut pertukaran tahanan yang merujuk kepada pembebasan rakyat Palestin dari penjara Israel sebagai timbal balas untuk tebusan Israel yang ditahan di Gaza.

Manakala Israel pula tetap dengan pendirian mahu kumpulan pejuang Hamas dihapuskan sama sekali dan semua tebusan yang diculik Israel dibebaskan bagi pertukaran tahanan Plaestin.

Pendirian Hamas dan Israel itu dimaklumkan kepada pengantara rundingan konflik Israel-Palestin, selepas UNSC meluluskan usul gencatan senjata dengan 14 negara anggota menyokong manakala Amerika Syarikat (AS) memilih untuk berkecuali.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak memberi sebarang reaksi terhadap tuntutan kumpulan terbabit tetapi sudah mengeluarkan kenyataan menolak resolusi terbaharu UNSC.

Pada pertengahan bulan ini, Hamas ada membentangkan beberapa tuntutan kepada pengantara rundingan berkenaan.

Antaranya, menggesa pengisytiharan gencatan senjata di Gaza selain mahu pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran tahanan warga Palestin, yang mana 100 daripadanya sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Menurut Hamas, pembebasan awal warga Israel akan termasuk wanita, kanak-kanak, warga emas dan tahanan yang sakit sebagai timbal balas kepada pembebasan 700 hingga 1,000 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Dalam syor dikemukakan oleh kumpulan pejuang Palestin itu, ia termasuk pembebasan ‘rekrut wanita’.

Pejabat Perdana Menteri Israel kemudian memberi maklum balas terhadap syor Hamas dengan menyifatkan ia sebagai permintaan tidak munasabah, sambil berikrar akan meneruskan serangan daratnya sehingga Hamas berjaya dihapuskan.

Related posts

Leave a Comment