Ganjar Pranowo pula fail petisyen

JAKARTA: Selepas Anies Baswedan, seorang lagi calon presiden Indonesia yang tewas pada pilihan raya lalu memfailkan petisyen di Mahkamah Perlembagaan bagi mencabar keputusan pilihan raya dimenangi Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto.

Pasukan undang-undang kepada calon Presiden, Ganjar Pranowo, memfailkan aduan semalam dengan menggesa pemilihan baharu diadakan semula, sekali gus menidakkan kemenangan Prabowo Subianto yang telah disahkan sebelum ini.

Khamis lalu, pasukan undang-undang kepada Anies memfailkan kes, bagi memohon perintah mahkamah supaya pilihan raya diadakan semula dengan mengecualikan penyertaan, Gibran Rakabuming Raka, iaitu anak Presiden Jokowi.

Ia mendakwa pembabitan Gibran pada saat akhir dalam pilihan raya pada Februari lalu telah mempengaruhi pengundian secara tidak adil

Ganjar yang juga bekas Gabenor Jawa Tengah dan disokong oleh parti pemerintah, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), memperoleh 16 peratus undi pada pilihan raya bulan lalu.

Pada pemilihan itu, Prabowo membolot hampir 60 peratus undi, manakala bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan pula meraih 25 undi.

Prabowo dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Presiden baharu Indonesia pada Oktober depan.

Peguam dalam pasukan undang-undang kepada Ganjar, Todung Mulya Lubis, berkata tuntutan supaya kemenangan Prabowo dibatalkan itu dibuat atas alasan pendaftaran beliau didakwa melanggar peruntukan undang-undang dan etika, justeru pilihan raya perlu diadakan semula.

Todung berkata, pilihan raya itu didakwa dicemari dengan nepotisme yang mengakibatkan penyalahgunaan kuasa.

Tahun lalu, Mahkamah Perlembagaan dalam satu keputusan berkait perubahan peraturan kelayakan, telah membenarkan Gibran Rakabuming Raka untuk menjadi rakan gandingan Prabowo pada pilihan raya berkenaan.

Ketika itu, adik ipar Jokowi merupakan Ketua Hakim yang membuat keputusan mahkamah itu.

Related posts

Leave a Comment