KUALA LUMPUR 22 Mac – McDonald’s Malaysia akan menarik balik saman fitnah jenamanya terhadap kumpulan pro-Palestin Boikot, Penjualan, Sekatan (BDS) Malaysia, kata Pengarah Urusannya dan rakan operasi tempatan, Azmir Jaafar.
Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, saman itu difailkan untuk memastikan kedudukan McDonald’s Malaysia mengenai konflik Timur Tengah diterangkan dengan jelas.
“Dengan hasil positif pengantaraan dan penjelasan yang dibuat oleh BDS dalam kenyataan mereka baru-baru ini mengakui bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel adalah bebas sepenuhnya daripada McDonald’s Malaysia, kami akan menarik balik saman undang-undang itu,” katanya.
Menurutnya, pendirian mereka kekal teguh untuk tidak menyokong mahupun terbabit dalam sebarang konflik atau peperangan.
“Selepas beroperasi selama lebih empat dekad di Malaysia dan menjadi perniagaan 100 peratus milik Muslim, kami berbangga menjadi ahli masyarakat setempat serta tidak berbelah bahagi dalam komitmen kami terhadap ketelusan,” katanya.
Azmir berkata, McDonald’s Malaysia kekal komited untuk membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik dengan menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Palestin dan menganjurkan aktiviti mengumpul dana pekerja untuk terus membantu usaha bantuan di Gaza.
Beliau berharap keputusan yang dibuat hari ini membolehkan semua pihak bergerak ke hadapan dan fokus mencari resolusi yang menegakkan keadilan.
Disember lalu, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, pemegang lesen McDonald’s di Malaysia, menuntut BDS Malaysia mengeluarkan permohonan maaf atas dakwaan kenyataan berunsur fitnah dan RM6 juta sebagai ganti rugi khas.
Susulan itu, dalam reaksi balasnya, Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail, berkata McDonald’s Malaysia tidak mempunyai asas kukuh untuk memfailkan saman terhadap boikot yang dilancarkan oleh kumpulan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia.
Beliau berkata pergerakan BDS tidak secara langsung berkempen menentang syarikat makanan segera itu, sebaliknya hanya menyokong boikot yang dimulakan oleh rakyat Malaysia sendiri.
“Jika anda lihat laman web BDS Malaysia, kami tidak berkempen untuk boikot ini. Rakyat Malaysia yang memboikotnya,” katanya.
