Benih padi boleh tuai bawah 80 hari

KUALA LUMPUR 22 Mac – Kerajaan akan memperkenalkan benih padi yang boleh dituai dalam tempoh bawah 80 hari bagi mencapai kadar sara diri (SSR) sebanyak 100 peratus bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood, berkata ketika ini negara mempunyai benih padi yang boleh dituai dalam tempoh 110 hari.

Katanya , berbanding dengan negara Asia Tenggara lain seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam, mereka sudah menanam padi bagi tiga hingga empat kali tuaian dalam tempoh setahun.

Pada masa yang sama, keluasan sawah mereka juga jauh lebih luas di mana Indonesia lebih 15 juta hektar, Thailand sebanyak 10 juta hektar dan Vietnam hampir lapan juta hektar berbanding Malaysia keluasannya tak sampai 700,000 hektar.

Bercakap pada siaran langsung Selamat Pagi Malaysia, hari ini, beliau berkata dua faktor itu menyebabkan pengeluaran beras putih tempatan (BPT) di negara ini tidak mencukupi.

Katanya, penanaman padi negara baru mencapai 60 peratus untuk mendapatkan hasil tuaian dua kali, manakala 40 peratus masih sekali tuaian.

“Negara jiran lain menanam padi bagi tiga hingga empat tuaian dalam tempoh setahun, manakala benih padi mereka boleh dituai dalam tempoh 80 hari tetapi kita masih dalam proses 110 hari,” katanya.

Azman berkata, ketika ini negara hanya mempunyai kira-kira 52 peratus BPT manakala selebihnya adalah beras putih import (BPI).

Katanya, kerajaan akan memastikan 140,000 tan beras tempatan di kilang diproses segera untuk dilambakkan di pasaran merangkumi pasar raya, pusat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Kerajaan juga akan meneruskan penjualan Agro MADANI bagi mengatasi masalah bekalan di pinggir dan luar bandar.

“Penurunan harga beras import antara RM2 ke RM3 juga adalah inisiatif semua pihak dalam sektor ini yang prihatin dengan kos sara hidup rakyat.

“Saya nasihatkan peniaga, kalau jual nasi kosong sepinggan, janganlah naik harga melebihi kos kerana jika 10 kilogram beras tempatan dibeli pada harga RM38, mereka boleh hidang 100 pinggan dan kosnya hanya 38 sen,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment