SINGAPURA 29 April – Seorang jururawat, warga Filipina berusia 46 tahun yang bertugas di wad biasa di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) disahkan positif Covid-19 walaupun telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Wanita itu mula batuk, sakit tekak dan mengalami sengal badan pada 27 April dan mendapatkan rawatan perubatan di TTSH dan diuji positif Covid-19 pada hari yang sama dan dimasukkan ke wad di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit.
Dia menerima dos pertama vaksin Covid-19 pada 26 Januari dan dos kedua pada 18 Februari.
Berikutan kes itu, TTSH menutup wad yang terjejas, menguji para pesakit dan kakitangan yang berada di wad itu serta tiada pelawat dibenarkan melawat pesakit di wad hospital berkenaan.
Setakat ini, empat lagi kes yang pada awalnya diuji positif Covid-19 termasuk seorang doktor dan tiga pesakit yang dirawat di wad yang sama.
Jururawat itu, adalah antara tiga kes dalam masyarakat yang dilaporkan semalam.
Sebanyak 23 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Singapura setakat pukul 12.00 tengah hari semalam di mana 20 adalah kes-kes import.
Kes import yang dilaporkan turut melibatkan dua rakyat Singapura dan seorang lagi adalah Penduduk Tetap (PR) Singapura yang pulang dari India dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan seorang pemegang pas tanggungan yang tiba dari Nepal.
Lima lagi kes adalah pemegang pas kerja yang tiba dari India, Jepun, Maldives, Nepal dan Uzbekistan.
Enam lagi pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India, Indonesia, Mexico dan Filipina, empat kes pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari India untuk melawat anggota keluarga mereka di sini dan seorang lagi tiba dari Filipina bagi urusan projek kerja.
Satu lagi kes seorang pemegang pas khas, seorang anak kapal yang tiba dari Indonesia dengan menaiki kapal dan diuji di atas kapal.