Karim keluar Warisan sertai Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU 18 Mac –  Pengerusi Tetap Parti Warisan Karim Bujang meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), semalam.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan itu menyerahkan borang keahlian Gagasan Rakyat kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor yang juga  Presiden parti itu.

Penyerahan borang keahliannya dibuat pada Majlis Berbuka Puasa kepemimpinan tertinggi Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, petang semalam.

Terdahulu, Hajiji turut mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di Bilik Mesyuarat Kinabalu, SICC.

Karim, 70, mula menjadi ADUN Bongawan pada 1990 atas tiket Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sebelum menyertai UMNO dan terus menjadi ADUN bagi kawasan itu dari 1994 hingga melepaskan kerusi pada 2013.

Kerusi yang didudukinya selama kira-kira lima penggal itu kemudian diambil alih Mohamad Alamin yang kini Timbalan Menteri Luar dan Ahli Parlimen Kimanis mewakili UMNO/Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018, Karim bertanding semula, pada masa itu di kerusi Parlimen Kimanis atas tiket Warisan, namun kalah tipis di tangan bekas Menteri Luar, Anifah Aman yang bertanding atas tiket BN.

Kemudian, pada Januari 2020, Karim sekali lagi dicalonkan Warisan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis selepas Mahkamah Pilihanraya membatalkan kemenangan Anifah pada 2018, tetapi Karim tewas di tangan Mohamad.

Related posts

Leave a Comment