PUTRAJAYA 16 Mac – : Kementerian Kesihatan (KKM) melarang penjualan dan penggunaan produk coklat jenama Slymchoco atau Slymochoco yang dikesan mengandungi racun berjadual Sibutramine, sejenis sebatian kimia yang bertindak sebagai pemendam rasa lapar atau selera makan.
Dalam kenyataannya hari ini, KKMmengingatkan semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk terbabit supaya menghentikan serta-merta penjualan semua produk berkenaan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan itu.
Pada masa yang sama, orang ramai yang sedang menggunakan produk ini perlu menghentikan penggunaan produk terbabit serta-merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan.
Menurut kenyataan itu lagi, label pada produk berkenaan juga didapati tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama sebutan sebenar produk dalam Bahasa Malaysia, tiada nama dan alamat pengilang atau pembungkus atau pengedar atau empunya hak untuk mengilang atau pengimport dan mempunyai akuan `premium’, selain turut memaparkan label Skim Pensijilan GMP dan Skim Pensijilan MeSTI KKM palsu.
Sehubungan itu, KKM memberitahu produk terbabit tidak boleh diiklankan untuk jualan dan tidak boleh dijual seperti dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
KKM juga memaklumkan berdasarkan data daripada satu kajian di peringkat antarabangsa dikenali sebagai `Sibutramine on Cardiovascular Outcome Study (SCOUT)’, Sibutramine didapati mempertingkatkan risiko kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok terhadap pesakit obes yang mengambil ubat berkenaan.
“Antara kesan sampingan Sibutramine yang dilaporkan ialah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju walaupun dalam keadaan rehat.
“Selain kesan sampingan yang serius, terdapat juga kesan sampingan ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan KKM lagi, Sibutramine banyak disalah guna dalam produk makanan bagi memberikan kesan penurunan berat badan.
Mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983 menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Nnn
