PUTRAJAYA 14 Jan. – Anwar Ibrahim berharap persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 kali ini akan berlangsung dengan tertib serta penuh wacana bernas berpaksikan kepada rakyat.
Perdana Menteri juga berharap, ia dapat menyumbang kepada pengukuhan perpaduan nasional demi sebuah Malaysia yang MADANI.
“Selamat bersidang kepada semua pimpinan dan perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berlangsung bermula hari ini hingga Sabtu.
Beliau berkata, Malaysia memerlukan politik yang matang, berteraskan muafakat, saling menghormati dan keupayaan untuk bekerja bersama demi kestabilan, kemakmuran serta masa depan yang lebih adil dan inklusif buat seluruh rakyat.
“Dalam landskap politik dan ekonomi yang kian mencabar, kekuatan sebenar tidak lahir daripada perbezaan yang terus dipicu, sebaliknya daripada kesepaduan yang diperkukuh, kebijaksanaan yang diraikan, serta iltizam bersama untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Menerusi hantaran berkenaan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut berkongsi sekeping gambar sewaktu beliau menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada 2023.
PAU 2025 berlangsung dari 14 hingga 17 Januari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Nnnn
