PUTRAJAYA 16 Mac – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, kawasan Pokok Sena di Kedah merekodkan suhu panas tahap dua atau gelombang haba setakat pukul 4.30 petang ini.
Menurut MetMalaysia, tahap gelombang haba merujuk kepada suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, suhu panas tahap berjaga-jaga atau tahap satu turut direkod di 17 kawasan Semenanjung iaitu seluruh Perlis; Padang Terap, Sik, Baling, Kuala Muda, Pendang dan Kota Setar di Kedah.
Di Perak melibatkan Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar dan Batang Padang, di Pahang membabitkan kawasan Raub, Temerloh dan Bera manakala Hulu Selangor di Selangor dan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga pula merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
MetMalaysia sebelum ini memaklumkan, Malaysia berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang secara lazim menyaksikan kawasan utara Semenanjung mengalami litupan awan dan taburan hujan yang kurang selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan.
