Kampong Baru sebagai Bandar Melayu KL

KUALA LUMPUR 13 Mac – Kerajaan tidak bercadang untuk mengangkat Kampong Baru sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pengiktirafan UNESCO akan menyebabkan sebarang cadangan pembangunan Kampong Baru tidak dapat diteruskan.

Justeru katanya, kawasan berusia 125 tahun itu akan dipromosikan sebagai bandar Melayu dalam Kuala Lumpur.

Menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak), beliau menjelaskan pengiktirafan warisan mempunyai tiga peringkat bermula daripada tapak warisan, yang diberikan oleh Jabatan Warisan Negara, diikuti oleh warisan negara, yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan kemudian barulah warisan dunia, yang diberikan oleh UNESCO.

“Pengiktirafan warisan di ketiga-tiga peringkat ini mempunyai beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dan sesetengahnya tidak dapat dipadankan dengan ciri-ciri semasa Kampong Baru,” katanya.

Dr Zaliha berkata, kerajaan akan berusaha mengangkat Kampong Baru sebagai Bandar Melayu yang tersergam megah dan hala tuju dasar untuk membangunkan semula akan dikekalkan selaras dengan pelan induk sedia ada.

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), tambah beliau akan memastikan hak dan kepentingan orang Melayu di Kampong Baru terpelihara.

“Antara perkara yang menjadi panduan pembangunan Kampong Baru adalah nilai kebudayaan dan pemuliharaan warisan alam bina, perancangan inovatif dalam pembangunan tanah, pemuliharaan dan penjanaan semula kawasan bagi membentuk persekitaran berkualiti dan berdaya huni serta yang paling utama, menjaga kepentingan pemilikan orang Melayu,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment