Bahasa Melayu Tiong King Sing teruk?

KUALA LUMPUR 13 Mac – Beberapa anggota pembangkang mendakwa penguasaan bahasa Melayu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,  Tiong King Sing lemah ketika beliau menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya.

Dakwaan itu membuatkan sidang Dewan Rakyat kecoh malahan dalam reaksinya King Sing enggan meneruskan jawapan secara lisan terhadap isu dibangkitkan sebaliknya akan memberi jawapan bertulis.

Isu itu mula dibangkitkan  Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) dengan mendakwa penerangan diberikan King Sing tidak jelas dan sukar difahami wakil rakyat di blok pembangkang.

Katanya, beliau bimbang sebutan dan penerangan yang tidak jelas oleh menteri akan mengelirukan Dewan Rakyat.

“Yang Berhormat (YB) cakap betul-betul. Saya tak berapa jelas. Sebab bukan saya saja (tak faham) tapi ramai yang tak jelas. Cakap bahasa (Melayu) jelas sikit YB. Takut mengelirukan dewan,” katanya menyebabkan King Sing enggan meneruskan jawapan sebaliknya akan memberi jawapan bertulis.

 Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) turut bangkit mencelah dengan mengatakan beliau juga tidak faham dengan apa yang diperkatakan King Sing.

“Speaker, macam mana kita nak faham. Bahasa Melayu teruk. Kita tanya lain dia (menteri) jawab lain,” katanya.

Tindakan Rosol yang beberapa kali bangun tanpa menggunakan Peraturan Mesyuarat kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan menteri itu, mendapat teguran Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong.

Awang Hashim (PN-Pendang) juga bangun dengan Peraturan Mesyuarat 38(3) kerana mendakwa beliau tidak faham dengan jawapan King Sing.

“Peraturan Mesyuarat 38(3), saya ingat Datuk Yang Dipertua (Dewan Rakyat) berhentikan (penggulungan oleh menteri) sebab kami tak faham apa yang dibacakan.

“Isunya, apa yang dibentangkan oleh menteri kami pun tak faham. Mungkin dia sendiri pun tak faham bahasa Melayunya.

“Saya minta Yang Dipertua supaya menteri tak payah menggulunglah sebab kami tak faham bahasa yang digunakan. Jadi lebih baik suruh pegawai tulis jawapan bertulis dengan bahasa yang boleh semua faham,” katanya.

Bagaimanapun dakwaan ahli Parlimen pembangkang itu disanggah Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang mengatakan beliau faham dengan apa yang King Sing perkatakan dan mendakwa Ahli Parlimen Pendang sengaja membuang masa.

“Sebetulnya Pendang buang masa. Buang masa menteri. Saya faham saja apa yang menteri cakap. Kenapa pula dia tak faham. Ini tidak patut,” katanya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor yang menggantikan Alice turut mengakui memahami penjelasan King Sing.

“YB Pendang, saya faham… macam mana Pendang tak faham?” kata Ramli.

Related posts

Leave a Comment