Tidak cadang tutup TikTok

KUALA LUMPUR 13 Mac – Kerajaan buat masa ini tidak berhasrat menutup mana-mana platform media sosial termasuk TikTok, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau maklum terdapat beberapa negara seperti China dan India yang menamatkan TikTok atas sebab-sebab tertentu.

Fahmi menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (BN-Batu Pahat) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan menutup TikTok dan media sosial lain yang memudaratkan seperti yang sudah dilaksanakan beberapa negara.

Beliau bagaimanapun berharap, kerjasama lebih baik oleh platform media sosial berkaitan beberapa isu keselamatan.

“Beberapa langkah sedang dipertimbangkan kerajaan termasuk dalam isu berkaitan keselamatan seperti perkhidmatan dalam talian bagi kanak-kanak supaya dapat ditangani dengan lebih baik, begitu juga dengan bahan berkaitan pornografi dan jualan produk tidak patut,” katanya.

Onn ingin tahu sama ada kerajaan akan menutup TikTok dan media sosial lain yang memudaratkan seperti yang sudah dilaksanakan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat.

Terdahulu, beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam menyediakan perkhidmatan perisian Parental Control Tools bagi memantau kandungan dalam talian yang dilihat oleh anak-anak.

Katanya, Parental Control Tools itu membolehkan ibu bapa menapis, mengehadkan dan menyekat kandungan yang dilihat serta aktiviti anak-anak dalam talian.

Menjawab soalan asal Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau), beliau berkata, lima penyedia perkhidmatan telekomunikasi berkenaan ialah CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan TIME.

Beliau juga memaklumkan, kebanyakan penyedia platform media sosial mempunyai had umur pengguna akaun dengan hanya mereka yang berumur 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan membuka akaun media sosial.

“Bagi memastikan syarat ini dipatuhi, ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab untuk memantau dan mengawasi aktiviti dalam talian anak-anak mereka. Ini kerana kanak-kanak masih boleh mendapat manfaat kandungan positif dengan melayari media sosial bersama-sama ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment