KUALA LUMPUR 22 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Kota Suci Madinah, Arab Saudi semalam.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz pada 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
Menurut catatan Facebook Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka berdua yang diiringi Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan paduka-paduka anakanda disambut Gabenor Madinah Putera Faisal bin Salman Al Saud.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berada di Madinah dan Makkah hingga 1 Julai untuk menunaikan ibadah haji.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf yang merupakan kemuncak haji pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.
