Hannah jelaskan penampilan berselendang

SEPANG 8 Mac – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan penampilannya yang berselendang semasa di Melbourne Australia adalah untuk menghormati rakan-rakan Muslim di tempat-tempat suci mereka.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, beliau tampil berselendang semasa mesyuarat bersama Universiti Monash sempena lawatan delegasi Anwar Ibrahim kerana sebelum itu melawat Kolej Al-Taqwa. sebuah sekolah Islam di Melbourne.

“Ada yang bertanya mengapa saya memakai selendang dalam gambar yang diambil dengan Universiti Monash semasa lawatan kami ke Melbourne kerana ia bukan program keagamaan.

“Pada pagi itu sebenarnya saya adalah salah seorang daripada delegasi Perdana Menteri yang melawat Kolej Al-Taqwa. Golongan delegasi wanita diminta untuk menutup kepala mereka, saya lakukan.

“Jadi saya memakai selendang untuk menghormati rakan-rakan Muslim saya di tempat-tempat suci mereka. Saya memilih untuk kekal dengan penampilan itu pula kerana saya tidak mahu terlambat untuk pertemuan dengan Universiti Monash dan Perdana Menteri kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Beliau tampil memberi penjelasan susulan penampilannya berselendang pada Isnin lalu menimbulkan kontroversi.  Pada Disember 2021 penampilan bertudung juga menimbulkan persoalan semasa melawat masjid.

Hannah menjelaskan , beliau kekal dengan penampilan itu kerana mesyuarat bersama Universiti Monash yang dijadualkan pada pukul 12.15 tengah hari telah diawalkan.

“Saya teliti dari segi cara memakai selendang. Saya suka kemas. Sebab itu saya sanggul kemas rambut untuk elak ikatan tercabut ketika di tengah-tengah program.

Bagaimanapun, disebabkan mesyuarat bersama Universiti Monash telah diawalkan Perdana Menteri memutuskan untuk terus ke bilik mesyuarat apabila kami tiba di hotel. Pada pukul 12.05 tengah hari kami sudah berada di bilik mesyuarat.

“Jadi tidak ada masa untuk saya membetulkan rambut. Media turut hadir dan saya fikir penampilan saya akan lebih rapi kalau rambut saya kekal ditutup dengan kemas,” ujarnya.

Hannah menegaskan, ketepatan masa dan protokol adalah perkara sangat penting buatnya selain sebagai seorang wanita, beliau tidak mahu muncul dalam foto media dengan rambut yang kelihatan tidak rapi dan tidak didandan.

“Ini adalah keputusan yang mudah namun saya sedih kerana perkara seperti ini terpaksa saya jelaskan di Facebook.

“Saya harap satu hari nanti selendang yang saya pakai tidak lagi menjadi isu. Saya juga harap perkongsian dibuat dapat memberi penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku,” kata beliau.

Nnn

Related posts

Leave a Comment