Kebakaran terminal 4 akibat serangan

ISTANBUL – Terminal Empat, Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi, terbakar semalam, selepas terkena projektil tidak dikenal pasti.

Pakatan diketuai Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihak berkuasa berkaitan tidak memberikan butiran mengenai tahap kerosakan ataupun sama ada terdapat sebarang korban, setakat ini.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan susulan pula, pakatan itu mengumumkan sistem pertahanan udara berjaya memintas dan memusnahkan sebuah misil krus berhampiran lapangan terbang berkenaan.

Pakatan terbabit tidak menjelaskan sama ada misil yang dipintas itu ada kaitan dengan projektil yang mengenai terminal terbabit atau mengenal pasti pihak bertanggungjawab atas serangan itu.

Kejadian itu berlaku sehari selepas serangan di lapangan terbang sama yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 lagi berdasarkan angka dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi.

Sabtu lalu, pihak berkuasa itu mengumumkan operasi di lapangan terbang berkenaan digantung sementara hingga penilaian kerosakan serta pemeriksaan keselamatan terhadap kemudahannya selesai, dengan penyelarasan bersama pihak berkuasa berkaitan.

Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid turut menjadi sasaran dua serangan pada Khamis lalu yang masing-masing menyasarkan kemudahannya dan sebuah pesawat Saudi Arabian Airlines.

Pada Jumaat lalu, pihak berkuasa penerbangan memaklumkan bahawa serangan itu mengorbankan tiga warga Arab Saudi dan mencederakan beberapa rakyat serta penduduk pelbagai kewarganegaraan, selain menyebabkan kerosakan harta benda.

Serangan terdahulu menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha serta Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid pada 6 dan 7 Oktober lalu yang mengorbankan tiga penduduk masing-masing warga Maghribi, Algeria dan Sudan, selain mencederakan 36 lagi.

Kejadian terbaru itu menjadikan lima serangan dalam seminggu terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid sejak Selasa lalu.

Pihak berkuasa Arab Saudi belum mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas serangan terbabit, namun kumpulan Houthi pada Khamis lalu mengumumkan mereka menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid dengan misil balistik.

Related posts

Leave a Comment