Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam

PUTRAJAYA 18 Jan. – Seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak dilantik menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkuat kuasa serta-merta bagi menangani masalah penderaan dan sosial membabitkan kanak-kanak.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata pelantikan pesuruhjaya itu adalah sebagai cabang khas yang mempunyai autonomi di bawah Suhakam.

“Kita sudah putuskan, maknanya kena wujud segera. Nama (pesuruhjaya) diumumkan tetapi saya minta supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berikan secara cerakin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Azalina sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan komited dalam penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak sebagai badan bebas yang dapat memantau dan memelihara hak kanak-kanak di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan penubuhan suruhanjaya itu memerlukan pandangan pelbagai pemegang taruh dan juga penggubalan akta baharu.

Perdana Menteri juga turut melantik Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan satu jawatankuasa sosial bagi meneliti masalah berkaitan kanak-kanak.

Katanya, jawatankuasa sosial itu juga akan meneliti semua masalah di bawah bidang kuasa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pelantikan itu sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang besar memandangkan isu penderaan kanak-kanak belum dapat dituntaskan dan beberapa isu belum mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Saya akan memperhalusi terlebih dahulu mengenai penubuhan jawatakuasa ini secepat mungkin kerana ia turut melibatkan isu-isu yang terkait dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Justeru saya berharap melalui jawatankuasa ini, ia akan diberikan kuasa yang boleh bertindak sebagai badan penyelia mengenai perkara berkaitan pendidikan, hak dan jenayah terhadap kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, permasalahan anak-anak yang berbapakan warga asing atau beribukan warga asing akan turut ditangani oleh jawatankuasa ini dengan pelaksanaan dalam kadar segera oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Dato’ Sri Azalina Othman Said, yang telah mencadangkan sebelum ini agar satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak akhirnya bakal diwujudkan melalui penggubalan satu akta yang baharu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment