BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra, dibebaskan oleh Mahkamah Agung daripada tuduhan kecuaian yang dihadapinya sejak 2013.
Yingluck, menetap di luar negara sejak enam tahun lalu untuk mengelak daripada dipenjarakan atas sabitan kecuaian yang dikenakan terhadapnya selepas digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2014.
Ahli keluarga Shinawatra itu yang juga adik kepada bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, sebelum ini berhadapan aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan dengan beberapa tuduhan bersama empat yang lain.
Antara lain, tuduhan itu mendakwa mereka merosakkan negara dengan tidak mengikuti proses bidaan dalam pemberian kontrak kerajaan bernilai 250 juta baht (RM33 juta).
Peguam Noppadon Laothong, memberitahu bahawa mahkamah menggugurkan kes terhadap Yingluck dan empat lain selepas mendapati mereka menjalankan tugas mengikut undang-undang dan tidak menerima faedah.
Yingluck pernah disabitkan secara ‘in absentia’ atau ‘tidak hadir’ sebelum ini atas tuduhan kecuaian dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kes skim ikrar beras kerajaan yang menyebabkan negara kerugian berbilion dolar.
Thaksin pula kembali ke Thailand pada Ogos lalu selepas menghabiskan tempoh 15 tahun di luar negara bagi melarikan diri daripada dipenjarakan atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.
(Foto fb Yingluck)
