Hentikan trend rosakkan ibadah di Baitullah

KUALA LUMPUR 4 Mac –  “Sewajarnya di hadapan Baitullah, kita fikirkan dosa kita, keampunan daripada Allah, termasuk doa-doa kepada-Nya,”

Begitu pesanan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berikutan trend merakam video dan gambar di Baitullah okeh jemaah umrah.

Katanya, agak janggal apabila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar yang bukan pada masanya.

“Saya lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau Hajar Aswad di media sosial.

Jika ia hanya sekadar trend untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah trend yang merugikan itu,” katanya melalui hantaran di Facebooknya hari ini.

Justeru beliau menasihatkan jemaah haji dan umrah untuk tidak berebut-rebut merakam video dan gambar mencium Hajar Aswad sekiranya ia hanya sekadar trend untuk meraih tontonan ramai.

Terdahulu, tular video seorang pempengaruh media sosial yang terpaksa bersesak-sesak dan menarik kumpulan jemaah terdiri kakitangannya untuk mencium Hajar Aswad.

Rakaman video diambil kakitangannya itu turut memperlihatkan beberapa kakitangan wanita, termasuk isterinya hampir ‘lemas’ hingga sukar bernafas kerana terpaksa bertolak-tolak antara jemaah lelaki yang turut berebut.

“Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium Hajar Aswad adalah sunat.

Bahkan di sisi ulama Syafi’iyyah, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium Hajar Aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang,” katanya.

Dr Zulkifli juga menjelaskan jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain atau membahayakan, hukum mencium Hajar Aswad adalah haram.

“Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment