Kenaikan harga disebabkan bahan mentah import

KUALA LUMPUR 4 Mac – Kenaikan harga bahan makanan ketika ini didorong kebergantungan negara yang tinggi terhadap bahan mentah import, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.

Situasi itu menyebabkan rakyat terus terbeban dan terpaksa menanggung kesan daripada kenaikan harga barang semasa.

Justeru beliau menyangkal dakwaan kementeriannya tidak mengambil tindakan terhadap peniaga yang didakwa sengaja menaikkan harga bahan mentah sebaliknya KPDN sentiasa melakukan pemantauan menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

“Kos sara hidup ini ada kiraannya dari segi margin dan ‘mark up’. Maksudnya kalau bahan mentah seperti bawang yang kita import, ada formula pencatutan yang akan dirujuk.

“Sekiranya (daripada perkiraan dibuat) didapati ada kenaikan (yang tak sepatutnya), kita akan keluarkan notis.

Kemudian mereka perlu tunjuk keseluruhan kos mereka. Jika kos bahan mentah itu tinggi, maka tak berlaku pencatutan di sini,” katanya menjawab soalan tambahan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu sejauh mana AKHAP 2011 berkesan untuk memantau kenaikan harga barangan.

Fuziah berkata, isu sebenar yang membuatkan rakyat tersepit adalah keadaan negara yang masih bergantung kepada bahan mentah import.

“Keadaan negara masih belum ‘self-sustaining’ (tahap berdikari). Berapa lama kita merdeka, kita masih warisi keadaan ini. Tambahan pula (kerajaan) sedang buat penyelarasan gaji. Gaji tak naik, tetapi barang terus naik.

“Jadi, bukan kita tak buat kawalan harga, ini adalah fenomena global yang mana harga barang memang sedang naik. Contoh, India enggan eksport beras (ke negara kita) dan pada masa sama, naikkan cukai untuk eksport bawang,” katanya.

Menjawab soalan asal mengenai jumlah peniaga yang dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011 sepanjang tahun lalu, beliau memaklumkan 5,904 kes direkodkan membabitkan kesalahan terbabit, dengan nilai kompaun dan denda RM1,466,600.

Related posts

Leave a Comment