Elak sesak, hapuskan tol Gombak dan Karak

KUALA LUMPUR 4 Mac –  Seorang ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan memansuhkan sekurang-kurangnya dua tol masing-masing di Gombak dan Karak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata langkah itu penting mengambil kira kewujudan empat tol yang terpaksa dilalui pengguna LPT menuju Pantai Timur iaitu Gombak, Bentong dan Karak serta di laluan keluar.

Beliau mencadangkan plaza tol Gombak dan Karak ditutup bagi mengelakkan kesesakan yang melampau serta melambatkan perjalanan pengguna LPT.

“LPT ada 4 plaza tol terpaksa pengguna berhenti, sedangkan untuk ringankan beban pengguna sepatutnya guna dua (sahaja plaza tol untuk) kaedah masuk dan keluar, dua plaza tol di LPT patut dihapuskan iaitu Gombak dan Karak,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan pencelahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai keperluan menghapuskan semua tol di negara ini memandangkan ia antara janji pihak yang menerajui kerajaan hari ini.

“Saya nak cakap tadi tapi tak sampai hati, tetapi kalau Hulu Terengganu (Rosol) cadang, saya sangat menyokong.

Terutama Tol Gombak antara tol yang paling awal di Malaysia dan sepatutnya (ia) dihapus dulu sebelum tol-tol lain di Malaysia,” katanya.

Beliau juga menyifatkan isu kesesakan lalu lintas di LPT sebagai kegagalan di pihak kementerian dan agensi, selain operasi lebuh raya terbabit.

Mengenai isu kelestarian penggunaan kenderaan elektrik, Tuan Ibrahim berkata beliau mengalu-alukan langkah itu, tetapi bilangan pengecas yang disediakan ketika ini belum mencukupi.

“Kalau dilihat unjuran kerajaan mengenai stesen pengecas dan penggunaan EV dimaklumkan bahawa sehingga Ogos 2023, terdapat hanya 1,246 stesen pengecas di lebuh raya.

“Saya dapat aduan di LPT khususnya sangat kurang (stesen pengecas) di lebuh raya tersebut,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment