KEPALA BATAS 10 Ogos – Bekas Ketua Pemuda UMNO , Khairy Jamaluddin menyifatkan Reezal Merican Naina Merican sebagai pewaris perjuangan bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi sejak 1970-an di kawasan berkenaan.
Katanya walaupun terdapat sedikit gangguan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, beliau berharap Reezal Merican dapat meneruskan perjuangan itu melalui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Justeru Khairy merayu pengundi memberi peluang kepada calon BN itu dengan mengetepikan seketika sentimen gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan mesra bersama masyarakat Pekan Lama Kepala Batas untuk membantu kempen Reezal Merican di sini, hari ini.
Pada PRU lalu Reezal Merican yang mewakili Parlimen Kepala Batas mulai 2013 menggantikan Abdullah gagal mempertahankan kerusi itu selepas tewas kepada calon PN-Pas, Siti Mastura Mohamad.
Khairy berkata, pemilihan wakil rakyat di peringkat DUN perlu dibuat berdasarkan kelayakan dan kemampuan memberi khidmat terbaik kerana tugasnya perlu menyelesaikan banyak masalah harian penduduk setempat dan ia agak berlainan berbanding memilih Ahli Parlimen.
“Sangat penting (untuk keluar mengundi) sebab tanggungjawab kita untuk pilih calon terbaik. Di Bertam ini saya tahu ada ramai enggan mengundi calon BN disebabkan faktor tertentu. Ketepikan BN itu sekejap, tengok Reezal Merican. Undilah beliau.
Satu undi untuk Reezal Merican (hanya) untuk Reezal Merican, tak lebih daripada itu. Satu undi untuk Reezal Merican bukan untuk Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
“Saya datang ke Bertam atas alasan persahabatan dengan Reezal Merican. Beliau adalah kawan baik saya dalam UMNO dulu. Saya tahu dia boleh buat kerja dan pandai selain memiliki banyak pengalaman sama ada dalam parti atau kerajaan,” katanya.
Reezal Merican yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bakal bersaing dengan pencabarnya, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq bagi merebut kerusi DUN Bertam pada PRN Pulau Pinang.
Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan mengakui BN berpeluang menjadi sebahagian daripada kerajaan Pulau Pinang, jika berjaya menerima mandat daripada pengundi pada PRN kali ini.
“Kalau dari segi keadilan, jika PH-BN menang di Pulau Pinang, mestilah ada tempat untuk BN dalam kerajaan kerana sudah bergantung harap kepada jentera dan pengundi BN. Kalau menang nanti, mestilah ada calon BN, contohnya Reezal Merican,” katanya.
Sementara itu, Reezal Merican mengakui tersentuh kerana mendapat sokongan dan bantuan daripada Khairy ketika pecutan terakhir tempoh kempen pada PRN Pulau Pinang.
“Dia (Khairy) ini sudah macam adik dan saya pula adalah anak didik Pak Lah. Dia datang mahu beri kekuatan tambahan agar akhirnya saya boleh dipilih mewakili Bertam dan meneruskan legasi Pak Lah.
“Saya mengharapkan seramai mungkin pengundi dapat turun menjalankan tanggungjawab. Ini hak yang sangat penting.
“Saya belajar kekalahan pada lapan bulan lalu (PRU15) dan akan terus memberi sentuhan kepada seramai mungkin pengundi di sini,” katanya.
