Berganding bahu bangunkan negara

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Ahli Parlimen sama ada blok kerajaan mahupun pembangkang berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat Maaysia.

Baginda menegaskan bahawa sebarang kegagalan ataupun kejayaan bukan terletak di bahu Perdana Menteri sahaja malah semua 222 Ahli Parlimen yang diamanahkan oleh rakyat perlu sama memikul tanggungjawab itu.

Ini kerana, baginda menegaskan bahawa itu menjadi amanah dan tanggungjawab semua Ahli Parlimen untuk membangunkan negara ini.

“Di mata saya, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan terletak di bahu Perdana Menteri sahaja, tetapi semua 222 Ahli Dewan Rakyat telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka dalam kerajaan.

“Semua pihak sedia maklum bahawa keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana.

“Oleh itu, saya berharap semua Ahli Yang Berhormat akan menumpukan usaha membela nasib hidup mereka dan bukannya untuk kepentingan parti politik dan diri sendiri,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.

Baginda juga mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara supaya mempamerkan teladan yang baik sepanjang persidangan Parlimen dengan menjaga adab dan tatatertib, selain menggunakan pertuturan yang sopan.

Sultan Ibrahim turut memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.

“Saya mahu ingatkan, Parlimen ini adalah tempat untuk penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat (YB) semua adalah penggubalnya.

Adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat. Justeru, saya harap semua ahli akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan ini.

“Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain,” titah baginda.

Sultan Ibrahim juga mengakui malu untuk menghadiri persidangan Parlimen sebelum ini, susulan tindakan dan pertuturan dipamerkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kalau tengok perangai ahli Dewan sebelum ini, saya pun rasa malu hendak masuk ke dewan ini. Kedua-dua dewan perlu menjalankan tugas dengan tegas untuk memastikan semua masyarakat mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan.

“Saya berikan ‘green light’ kepada Speaker untuk mengambil tindakan kepada ahli yang melamapui batas, boleh kenakan ‘banned’ (selama) 14 hari jika ada yang masih berdegil.

“Oleh yang demikian, saya berharap semua ahli Dewan akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan yang mulia ini,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menegaskan, titah baginda sempena istiadat berkenaan adalah lebih halus, berbanding ketika di Johor sebelum ini.

“Saya beri peluang supaya tiada yang tersinggung, tetapi berharap (ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara) akan lebih berjaga-jaga pada masa akan datang,” titah baginda.

Mengulas pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, ia adalah tanggungjawab sama seperti Yang di-Pertuan Agong terdahulu, mengikut Perlembagaan, dasar dan peraturan ditetapkan.

“Kedudukan saya di sini, adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa dipelihara.

“Justeru, saya meminta semua pihak, sama ada yang duduk di sebelah kanan (kerajaan) atau kiri (pembangkang), marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat,” titah baginda.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment