Tidak layan gugat kestabilan politik

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim tidak akan melayan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

Justeru, baginda menitahkan agar semua pihak menerima menghormati pembentukan Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara ketika ini.

Bagi yang hendak bermain politik, baginda memberi amaran supaya mereka menunggu peluang itu untuk bersaing pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ingin saya tegaskan di sini, saya tidak akan melayan sebagai permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

Semua pihak mestilah menerima dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada hendak bermain politik, tunggu masa pilihan raya akan datang,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.

Baginda juga menitahkan isu sensitif mengenai raja, kaum dan agama tidak disentuh demi menjaga keharmonian negara ini, serta tidak mempolitikkan perkara yang sudah pun digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, baginda memberi jaminan bahawa hak agama dan kaum lain turut terpelihara namun ada batas yang harus mereka patuhi.

“Saya juga meminta kepada semua lapisan masyarakat supaya jaga keharmonian negara dengan tidak memainkan isu sensitif yang tidak membabitkan raja, kaum dan agama.

Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan terus kekal terpelihara. Namun begitu, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

“Oleh itu, jangan ada mana-mana pihak cuba menggugat atau mempolitikkan asas Perlembagaan ini,” titah baginda.

Related posts

Leave a Comment