KUALA LUMPUR 5 Jun – Polis menyiasat tindakan seorang pemandu e-hailing yang mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Malaysia kepada pelancong asing melalui video berkaitan yang tular di media sosial.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata polis sudah menerima laporan daripada seorang peniaga berusia 49 tahun yang melihat video tersebut di aplikasi TikTok semasa berada di rumahnya di Kempas Baharu, Johor Bahru, semalam.
Katanya, lelaki itu mendakwa video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Tiktok ‘Samisma_News & AATV Rakyat News’ memaparkan seorang pemandu e-hailing didakwa menghina agama Islam serta memburukkan Malaysia kerana tidak berpuas hati kerana negara ini mengharamkan arak dan bermain judi.
“Hasil siasatan mendapati video terbabit dimuat naik kira-kira 7 malam semalam dengan mengeluarkan kenyataan sensitif.
Semakan akan dibuat dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mendapatkan butiran pemilik akaun dan mengenalpasti pemandu e-hailing,” katanya seperti dilaporkan BH.
Razarudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam tular dilaman sosial sebuah video dipercayai dirakam pelancong warga asing yang memaparkan pemandu e-hailing berkenaan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Islam ketika berbual dengan pelancong terbabit ketika menggunakan perkhidmatannya.
Semalam, BH juga melaporkan Ketua Aktivis Gabungan E-Hailing Malaysia, Jose Rizal kecewa dan terkejut sebaik dimaklumkan mengenai video berkenaan.
“Apa yang diperkatakan oleh pemandu itu (berkaitan agama Islam) kepada pelancong asing adalah salah dan ia memperlihatkan pemikirannya yang sempit.
“Justeru itu, kita menggesa supaya tindakan tegas diambil oleh pihak syarikat e-hailing dengan memberhentikan khidmat lelaki terbabit,” katanya.
Jose Rizal berkata, syarikat pengendali juga perlu mempertingkatkan amaran serta memberikan peringatan kepada pemandu mereka supaya tidak mengulangi kesilapan seumpama itu.
“Pemandu-pemandu e-hailing ini umpama duta kecil negara kita dan apabila perkara sebegini berlaku, ia bukan sahaja menjejaskan syarikat terbabit tetapi juga negara (rosakkan keharmonian).
“Disebabkan itu, kita mahu supaya syarikat e-hailing bertanggungjawab menyediakan garis panduan yang sentiasa diingatkan kepada pemandu bagi mengelak perkara ini berulang,” katanya.
Bagi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Mohd Nor Izzat Mohd Johari, perbuatan pemandu terbabit menghina agama serta umat Islam kepada pelancong asing adalah perkara memalukan negara.
Katanya, sebagai negara yang berperlembagaan, tidak ada mana-mana individu bukan Islam dilarang untuk minum arak mahupun berjudi di negara ini.
“Ini adalah penghinaan yang amat serius dan kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap individu terbabit,” katanya.
