205 juta rakyat Indonesia memilih

JAKARTA 14 Feb. –  Kira-kira 205 juta warga Indonesia layak mengundi pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) hari ini serentak pada Pemilihan Umum (Pemilu) yang diisytiharkan hari cuti kebangsaan.

Lebih 800,000 pusat mengundi akan beroperasi merentasi tiga zon waktu, setiap satu dibuka selama enam jam bermula 7 pagi hingga 1 tengah hari,  dikendalikan oleh lebih 5.7 juta petugas pilihan raya.

Mereka akan memilih sama ada Prabowo Subianto,  Anies Baswedan atau Ganjar Pranowo, dalam Pilihan Raya Presiden kelima sejak berakhirnya pemerintahan diktator Suharto pada 1998.

Lebih 20,000 kerusi disediakan untuk direbut dari peringkat daerah ke kerusi Parlimen negara dan jawatan Presiden.

Calon presiden dan naib presiden bagi tempoh 2024-2028 akan dipilih pengundi serta sejumlah calon anggota Majlis Permusyarawatan Rakyat (MPR), Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD).

Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia, pengundi akan menerima lima kertas undi di Tempat Pemungutan Suara (TPS).

Pilpres membabitkan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan yang berpasangan dengan Ketua Umum Parti Kebangkitan Bangsa, Muhaimin Iskandar, sebagai calon naib presiden.

Bekas Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto pula bertanding buat kali ketiga selepas kalah pada 2014 dan 2019 kepada Jokowi dan kini bergandingan dengan anak sulung Jokowi, Gibran sebagai regunya untuk calon naib presiden.

Sementara bekas Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo pula bergandingan dengan Mahfud MD, bekas Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan.

Sekiranya tiada calon mencapai lebih daripada 50 peratus pada pusingan pertama, pusingan kedua dijadualkan pada Jun dengan hanya dua calon yang menerima undian paling popular.

Pada Pemilu kali ini, pengundi muda iaitu generasi Milenium dan Gen Z mewakili 54 peratus daripada jumlah pengundi yang layak seawal usia 17 tahun untuk menunaikan tanggungjawab.

Jumlah pengundi di Jawa paling ramai dan berpengaruh dengan 115.4 juta pengundi dan 454,444 TPS dibuka.

Jawa Barat mempunyai pengundi teramai iaitu 35.7 juta diikuti Jawa Timur dengan 31.4 juta, Jawa Tengah 28.3 juta, Jakarta 8.25 juta, Banten 8.8 juta dan Yogyakarta dengan 2.9 juta.

Related posts

Leave a Comment