Muhyiddin sedia jumpa Anwar di mahkamah

KOTA BHARU 22 Julai – Bekas Perdana Menteri,  Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak bersalah dan bersedia untuk berdepan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di mahkamah berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan , beliau tidak takut Anwar Ibrahim walaupun disaman sebanyak RM200 juta.

“Hari ini (semalam) saya dapat berita Anwar Ibrahim saman saya RM200 juta. Tidak lain tidak bukan, ia membabitkan isu peneroka Felda.

“Saya tidak takut terhadap Anwar, tidak mengapa, biar kita pergi mahkamah kerana saya tidak bersalah,” katanya ketika berucap di Program Munajat Rakyat Kelantan Pakat Pertahan dan Amanat Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menuntut Muhyiddin meminta maaf dan membayar pampasan RM200 juta kerana menjejaskan reputasi beliau berhubung dakwaan fitnah membabitkan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Melalui jawapan terhadap surat tuntutan Muhyiddin menerusi firma guamannya SN Nair & Partners, menyatakan Anwar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri itu jika tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.

Surat jawapan terbabit dialamatkan kepada firma guaman, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili Muhyiddin.

Mengulas lanjut Muhyiddin turut menegaskan, Anwar tidak faham untuk membezakan antara penghapusan hutang dan sukuk.

Jelasnya, ketika beliau mentadbir kerajaan, masalah Felda yang dialami termasuk terdapat pengurusan tidak cekap, pendapatan merosot sehingga hutang tidak boleh dibayar sehingga membabitkan jumlah hutang seluruh negara hampir RM12 bilion.

“Ketika itu kami mengambil keputusan membantu peneroka Felda pada 2021 dengan menghapuskan hutang sebanyak RM8.3 bilion. Namun Perdana Menteri kata saya cakap bohong, sedangkan saya tidak pernah bohong kerana saya ada bukti.

“Saya kata Anwar, itu bon, yang ini penghapusan hutang, ia tidak sama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment