2.46 juta lengkap 2 dos

PUTRAJAYA 3 Julai – Kira-kira 2.46 juta orang atau 7.5 peratus penduduk negara ini sudah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19,  sehingga semalam, kata Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Beliau berkata,  6.12 juta lagi atau 18.7 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan jumlah pemberian dos vaksin Covid-19 sehingga semalam meningkat kepada 8.58 juta orang.

Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sebanyak 236,196 dos vaksin diberikan semalam.

Putrajaya mencatatkan peratusan penerima dua dos vaksin paling tinggi iaitu 25.8 peratus (28,351 orang), diikuti Labuan dengan 16.8 peratus (16,721 orang) dan Perlis dengan 16.7 peratus (42,588 orang).

Ia diikuti Kuala Lumpur dengan (12.5 peratus/221,020 orang), Sarawak (9.1 peratus/257,408 orang), Negeri Sembilan (sembilan peratus, 101,934 orang), Perak (8.7 peratus/219,044 orang), Kedah (8.5 peratus/186,690 orang) dan Pahang (8.5 peratus/142,671 orang).

Selain itu, Melaka (7.8 peratus/72,684 orang), Pulau Pinang (7.6 peratus/134,494 orang), Kelantan (7.4 peratus/141,747 orang), Terengganu (7.2 peratus/90,281 orang), Johor (6.8 peratus/258,636 orang), Sabah (5.5 peratus/215,318 orang dan Selangor (5.1 peratus/333,432 orang).

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak 10 peratus penduduk iaitu 3.2 juta populasi Malaysia dijangka selesai divaksinasi dengan dua dos suntikan vaksin Covid-19 pada pertengahan bulan ini.

Katanya, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan pertambahan bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) yang sudah dibuka dan jumlah bekalan vaksin Covid-19 yang diterima.

Related posts

Leave a Comment