16 peruntukan jenayah syariah tidak sah

PUTRAJAYA 9 Feb. – Mahkamah Persekutuan di sini memutuskan Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak berkuasa untuk membuat 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Semasa membaca keputusan penghakiman yang menyokong, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat berkata 16 daripada 18 peruntukan itu tidak sah kerana intipati peruntukannya termasuk bawah Senarai Persekutuan.

“Hanya Parlimen mempunyai kuasa untuk membuatnya,” kata Tengku Maimun yang menyokong petisyen itu.

Panel hakim diketuai Tengku Maimun berkata demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

Keputusan majoriti itu dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang.

Selain Tengku Maimun, hakim lain yang menyokong ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim; Hakim Besar Malaya,  Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu P Nalini, Mary Lim Thiam Suan, Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

Sementara Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli menentang petisyen berkenaan.

Nik Elin Zurina, 62, dan Tengku Yasmin Natasha, 26, memfailkan petisyen terhadap kerajaan negeri Kelantan selaku responden tunggal, dalam usaha mengisytiharkan 18 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Lapan belas peruntukan yang dipertikaikan tersebut ialah:

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Bahagian 39: Mengurangkan timbangan, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (ibu/ bapa ayam atau perantara pelacuran)

Sementara itu, Tengku Maimun berkata, mahkamah mendapati Seksyen 13 dan 30 sah kerana responden mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral

Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan

Beliau berkata, Seksyen 13 ialah berkenaan penjagaan untuk mengawal pengembangan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam.

“Ia juga berkaitan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa negeri-negeri boleh membuat undang-undang bagi tujuan mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam.

“Begitu juga intipati Seksyen 30, ia bagi mengawal atau menyekat pengembangan kepercayaan agama di kalangan orang yang menganut agama Islam, bukannya untuk semata-mata memecah keamanan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, mahkamah membenarkan permohonan pempetisyen untuk suatu deklarasi bahawa Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48 Enakmen 2019 adalah batal dan tidak sah.

Katanya, selaras dengan Seksyen 83 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, mahkamah tidak membuat sebarang perintah tentang kos.

Pada 22 Mei 2022, Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin Nastasha memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa.

Mereka juga memohon mahkamah mengisytiharkan DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam saja.

Petisyen yang penuh kontroversi berkenaan sebelum ini mendapat perhatian banyak pihak terutama bantahan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Pada awal November tahun lalu, 300 NGO Islam menyerahkan memorandum diterima wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di Parlimen, yang mendesak pindaan Perlembagaan segera bagi mengelak peruntukan jenayah syariah di negara ini dicabar atau lebih buruk lagi berisiko dibatalkan.

Mereka juga menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan kemelut didakwa tekanan terhadap bidang kuasa DUN dalam menggubal peruntukan berkait dengan kesalahan jenayah syariah bagi orang Islam.

(Grafik FB PERTIWI)

 

Nnnn

Related posts

Leave a Comment