McD akui kemerosotan jualan

CHICAGO : Restoran makanan segera, McDonald’s mengakui perang di Gaza antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan syarikat itu mencapai sasaran jualan suku tahunan pertama dalam tempoh empat tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s, Chris Kempczinski berkata, perang itu mempunyai impak ke atas jualan di negara Asia Barat dan negara majoriti Islam lain seperti Malaysia dan Indonesia.

“Selagi konflik dan perang ini berterusan … kami tidak menjangkakan untuk melihat sebarang peningkatan yang ketara dalam situasi (jualan) ini,” kata Kempczinski.

Memetik laporan Al Jazeera, beliau dilaporkan berkata, ia adalah tragedi kemanusiaan, dan apa yang sedang berlaku memberi kesan kepada jenamanya.

Pertumbuhan jualan bagi restoran itu di Asia Barat, China dan India pada Oktober-Disember mencapai 0.7 peratus, jauh di bawah jangkaan pasaran sebanyak 5.5 peratus.

Kemerosotan itu berlaku selepas pelanggan di negara-negara Islam berkempen untuk memboikot McDonald’s sebagai tindak balas kepada francais Israel yang menyumbangkan makanan percuma kepada tentera Israel.

Berikutan pengumuman McDonald’s Israel, pemegang francais di Arab Saudi, Oman, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu, Jordan, Mesir, Bahrain dan Turki secara kolektif memulakan dana bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Walaupun McDonald’s yang berpangkalan di Chicago dikenali sebagai salah satu jenama Amerika Syarikat yang paling ikonik, kebanyakan restorannya di seluruh dunia dimiliki dan dikendalikan oleh syarikat tempatan.

McDonald’s adalah antara beberapa jenama dari barat yang berhadapan dengan boikot susulan perang Israel ke atas Gaza.

Minggu lalu, rangkaian kedai kopi, Starbucks mengumumkan pengurangan jangkaan jualan tahunannya, dengan memetik kemerosotan dalam keuntungan di Asia Barat.

Related posts

Leave a Comment