Israel teliti tindak balas Hamas

GAZA: Israel masih meneliti tindak balas Hamas terhadap usul menghentikan  pertempuran di Gaza, selepas Qatar sebagai pengantara utama menyatakan kumpulan itu memberikan jawapan ‘positif’ kepada kandungan yang dicadangkan.

Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Mohammed Abdulrahman Al-Thani, berkata pihaknya menerima jawapan daripada Hamas berhubung rangka kerja umum perjanjian berkenaan dengan tebusan.

“Jawapan itu termasuk beberapa komen, tetapi secara umum ia adalah positif,” katanya selepas bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken  di Doha.

Sementara itu, Hamas mengesahkan ia menyampaikan maklum balasnya terhadap cadangan yang dikeluarkan seminggu lalu di Paris antara Qatar dan pengantara lain.

Blinken pula berkata, jawapan Hamas telah ‘dikongsi’ dengan Israel dan akan membincangkannya hari ini.

“Kami sedang mengkajinya dengan teliti dan akan berusaha sekeras mungkin untuk cuba mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, agensi perisik Israel, Mossad juga menerima maklum balas Hamas dan menyatakan ‘butirannya sedang dinilai dengan teliti’.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, masih belum mengulas secara langsung mengenai perkara itu dan tetap tidak berganjak daipada pendirian asal ingin mencapai kemenangan menyeluruh di Gazal.

Related posts

Leave a Comment