Israel sedia mara ke selatan Gaza

BAITULMAQDIS: Ketika usaha diplomatik dijalankan untuk mempercepatkan gencatan senjata, Israel bersedia mara jauh ke selatan Gaza berdekatan sempadan Mesir, selepas mendakwa sudah berjaya memusnahkan Hamas di Khan Younis.

Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, semalam berkata mereka berjaya tumpaskan kumpulan Palestin di bandar selatan Gaza, Khan Younis, selepas melancarkan serangan darat besar minggu lalu.

Kini, tentera Yahudi mula mara ke Rafah di sempadan selatan wilayah itu, ketika lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza sedang berlindung di sana dalam kesejukan dan kelaparan di khemah sementara dan bangunan awam.

“Kami sudah mencapai misi kami di Khan Younis dan kami juga akan sampai ke Rafah dan menghapuskan unsur keganasan yang mengancam kami,” kata Gallant dalam satu kenyataan.

Dalam tempoh ini, negara pengantara Qatar dan Mesir mengharapkan tindak balas positif daripada Hamas , terhadap cadangan konkrit pertama bagi menghentikan pertempuran berpanjangan, dipersetujui Israel dan Amerika Syarikat (AS) pada rundingan di Paris minggu lalu.

Seorang pegawai Palestin berkata, Hamas tidak mungkin menolak cadangan itu secara terang-terangan, tetapi akan menuntut jaminan bahawa pertempuran tidak akan diteruskan, namun ia sesuatu yang tidak dipersetujui Israel.

Penduduk Gaza berkata, tentera Israel sudah menggempur kawasan sekitar hospital di Khan Younis dan meningkatkan serangan berhampiran Rafah.

Related posts

Leave a Comment