Dira calon keempat rebut Ketua Puteri UMNO

KUALA LUMPUR 17 Feb. –  Perebutan jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia semakin menarik perhatian apabila seorang lagi calon menawarkan diri bagi mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan oleh penynadang Zahida Zarikh Khan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,  Khaidirah Abu Zahar atau dikenali sebagai Dira malam tadi menjadi calon keempat mengesahkan akan bertanding jawatan Ketua Puteri itu pada pemilihan yang akan berlangsung bulan depan.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rim, Melaka itu dijadualkan menyerahkan borang pencalonannya hari ini.

Berikutan pengesahan itu, setakat ini empat ‘puteri’ mengesahkan akan bertanding jawatan itu termasuk Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul Hazwani Haslan dan dua Exco Puteri iaitu Dr. Masliha Harun dan Fadwah Anuwar.

Sementara itu Dira menjelaskan sebelum ini pihaknya banyak mendiamkan diri ketika ditanya mengenai pencalonan berkenaan kerana mahu menyelesaikan perkara itu dengan pihak pengurusan terlebih dahulu.

Katanya, beliau sudah memaklumkan hasrat bertanding ini kepada Ketua Puteri UMNO, Zahida, Presiden UMNO  Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Perhubungan Negeri Ab Rauf Yusoh.

“Jadi, saya hanya nak maklumkan, dengan semangat demokrasi dalam parti ini, saya Dira Abu Zahar tawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Puteri UMNO,” katanya.

Menurut Dira, sesiapa sahaja yang menawarkan diri untuk bertanding dalam prmilihan parti itu mestilah mempunyai nilai tambah dan mampu membawa parti berkenaan jauh lebih baik.

“Pemilihan ini bukan alasan untuk pastikan perubahan atau nak cari pemimpin baharu sahaja. Tetapi, mereka yang bakal tawarkan diri ini mestilah mampu membawa parti ini ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment