Bosan politik tidak keluar mengundi

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Ramai dalam kalangan rakyat Malaysia mungkin tidak berminat untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum kali ini disebabkan mereka dikatakan telah bosan dengan situasi politik semasa.

Bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, lebih malang ialah apabila mereka tidak mengundi tetapi yang akan mengundi ialah golongan yang telah disogok oleh ‘perasuah’.

Kesannya, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, parti perasuah akhirnya akan akan menang pada PRU akan datang, seterusnya mendirikan Kerajaan, mengakibatkan kerosakan negara akan berterusan.

“Dalam PRN Melaka dan Johor hampir lima puluh peratus pengundi tidak mengundi. Dengan itu parti BN dengan sokongan hanya 35 peratus dari pengundi menang besar dan diri Kerajaan.

Masalahnya pengundi yang menolak sogokan tidak ada pilihan. Mereka juga tidak suka parti-parti lain yang bertanding,” katanya menerusi penulisan blog terbaharu beliau bertajuk “Kenapa Gerakan Tanah Air (GTA) 2” yang diterbitkan hari ini.

Pengerusi GTA itu berkata, beliau melihat jika negara ingin elak dari memberi kemenangan kepada UMNO, pengundi perlu ada pilihan selain dari yang ada.

Jelasnya lagi, GTA telah ditubuh untuk pengundi, terutama Melayu, memilih selain dari UMNO.

“GTA adalah parti Melayu yang terdiri dari ahli politik yang bersih dari jenayah. Pemimpin mereka tidak pernah didakwa di hadapan mahkamah, jauh sekali dari di penjara.

“GTA juga mempunyai ramai pemimpin yang berpengalaman. Hasrat GTA ialah untuk mendiri Kerajaan yang hormati undang-undang (Rule of Law) dan Perlembagaan negara. Mereka utamakan kepentingan bangsa, negara dan agama,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata, walaupun keahlian GTA terhad kepada orang Melayu,. mereka juga akan berlaku adil kepada kaum-kaum lain, dan Kerajaan yang akan didirikan, bakal mencermin masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia.

“Jelaslah dengan GTA bertanding, rakyat yang bosan dengan politik, dan ketidakstabilan negara sejak Langkah Sheraton, akan dapat memilih Kerajaan parti Melayu selain dari parti UMNO.

“Sama-samalah kita pulih negara dan bangsa dari kerosakan kleptokrat. InsyaAllah,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment