Kenyataan Hadi Awang keterlaluan

KUALA TERENGGANU 16 Sept. – Tindakan keterlaluan. Itu reaksi Pakatan Harapan (PH) negeri apabila ada pihak melabel parti itu sebagai kumpulan yang tidak beriman dan tak bermoral.

Pengerusi PH negeri, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang itu sudah  terkeluar daripada kategori serangan politik sebaliknya lebih kepada isu membabitkan soal akidah pemimpin PH.

Kenyataan Abdul Hadi itu hampir menyamai Amanat Haji Hadi di Banggol Peradong, Terengganu pada tahun 1980-an yang mengkafirkan UMNO sehingga berlakunya perpecahan.

“Tuduhan UMNO kafir menyebabkan perpecahan dahsyat dalam kalangan umat Islam terutama di Terengganu dan Kelantan.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sendiri menyeru supaya masyarakat Melayu dan Islam bersatu padu, tetapi kenyataan PH sebagai kumpulan tidak beriman dan bermoral menjurus kepada perpecahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raja Kamarul Bahrin Shah yang juga pengerusi Amanah negeri mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menegaskan Pas tidak akan bekerjasama dengan PH bagi menolak mudarat yang lebih besar kepada negara, tambahan pula ramai kalangan pemimpin PH tidak beriman (berakidah) dan bermoral (berakhlak) serta secara terbuka, mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.

Raja Kamarul Bahrin Shah bertanya, adakah mereka yang lain dari ahli Pas boleh dipersoalkan akidah mereka begitu sahaja tanpa usul periksa ?

“Kenapakah amanat Haji Hadi dalam isu kafir  mengkafir yang telah dikategorikan ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, telah dipadamkan sebaik sahaja Pas menjadi sebahagian dari Kerajaan ?

“Adakah ini untuk memadam kesalahan lama yang kini diulangi sekali lagi ?,” tanya Raja Kamarul Bahrin Shah.

Beliau berkata kenyataan Abdul Hadi semalam menampakkan parti itu berlagak seolah-olah mempunyai kuasa mutlak menentukan akidah sesama Islam dan membelakangkan Raja-Raja Melayu yang juga ketua Agama Islam.

Raja Kamarul Bahrin mendakwa, masjid dan surau yang dimuliakan juga digunakan untuk menyebar fitnah sesama Islam oleh pimpinan kanan Pas dan ada antara mereka sudah dihukum denda oleh mahkamah kerana memfitnah.

“Pas membuat tuduhan tidak berasas kononnya PH mencabar kedudukan Raja Raja Melayu, tetapi parti itulah yang sebenarnya berlagak mereka lebih berkuasa daripada Raja-Raja Melayu dan Jabatan Agama Islam untuk menentukan ketetapan hukum berkaitan akidah seseorang tanpa siasatan atau perbicaraan.

“Adakah Pas berhasrat membawa negara menuju ke arah sistem Taliban di luar peraturan undang-undang dan perlembagaan,” katanya.

Beliau menggesa Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nasaruddin Hassan Tantawi, kedua-duanya dari Pas menjawab isu ini .

Related posts

Leave a Comment