Ivermectin mungkin diluluskan

PUTRAJAYA 11 Julai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan meluluskan penggunaan Ivermectin bagi merawat pesakit Covid-19 jika terdapat bukti kukuh menjelaskan keberkesanan dan kesan sampingannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun menjelaskan, ketika ini penggunaan Ivermectin hanya dibenarkan secara ‘off label’ sehingga kajian menyeluruh dijalankan.

Menurutnya Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sudah meluluskan penggunaan ‘off label’ seperti yang dilakukan pada ubat antimalaria dan HIV.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program The Nation, bertajuk ‘COVID-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita’ yang disiarkan secara langsung menerusi BERNAMA TV malam tadi.

Kaedah ini merujuk penggunaan yang tidak didaftar, tetapi dibenarkan sehingga ada bukti kukuh.

Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) yang digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai, termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga kini di peringkat kajian untuk mengenal pasti keberkesanan dan kesan sampingannya bagi pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima.

Related posts

Leave a Comment