DUBAI: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mendakwa Israel menghalang penghantaran bantuan untuk Semenanjung Gaza dan menyifatkannya sebagai taktik tekanan rejim Zionis itu.
Katanya, Mesir pernah menghantar 600 trak sehari ke Gaza namun sejak dua hingga tiga hari lalu, pihaknya hanya dapat menghantar bawah 200 trak setiap hari.
Jelasnya, Lintasan Rafah Mesir dibuka 24 jam setiap hari dan setiap bulan tetapi
prosedur yang berlaku di pihak Israel telah menyebabkan penghantaran trak bantuan menjadi perlahan.
Abdel Fattah berkata, halangan Israel itu dijadikan sebagai alat tekanan berhubung konflik dan pembebasan tebusan.
Kenyataan Abdel Fattah itu merupakan pergeseran terbaharu antara kedua-dua negara yang mengekalkan sekatan ke atas kawasan Gaza.
Jumlah bantuan yang terhad telah disampaikan melalui persimpangan Rafah antara Mesir dan Gaza serta sejak Disember, melalui persimpangan Kerem Shalom yang dikawal oleh Israel.
Data daripada agensi PBB UNRWA menunjukkan kurang daripada 200 trak memasuki Gaza setiap hari sejak 24 Januari.
Israel melancarkan perang udara dan darat di Gaza menyebabkan lebih 25,000 rakyat Palestin maut dan menyebabkan krisis kemanusiaan dengan kebanyakan 2.3 juta penduduk Gaza hilang tempat tinggal dan kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api.
(Foto hiasan UNRWA)
