Tamatkan pendudukan Israel – Antonio Guterres

NEW YORK: Pendudukan Israel perlu ditamatkan dan pengiktirafan sejagat diberikan terhadap ‘hak rakyat Palestin membina negara yang merdeka sepenuhnya, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Justeru beliau menegaskan tindakan kerajaan rejim Zionis menolak penyelesaian dua negara untuk konflik Israel-Palestin, sebagai ‘tidak boleh diterima’.

Katanya, penolakan penyelesaian itu serta penafian Israel terhadap hak rakyat Palestin untuk memiliki negara merdeka sepenuhnya, akan memanjangkan lagi konflik yang kini menjadi ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan global.

Bercakap pada mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung isu yang membelenggu Asia Barat, semalam, beliau berkata tindakan Israel menyemarakkan lagi polarisasi serta semangat pejuang-pejuang di serata tempat.

UNSC dibarisi 15 negara anggota itu telah lama mendukung visi ‘dua negara’ terbabit bersama sempadan yang selamat dan diiktiraf. Palestin mahu negaranya merangkumi Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza, iaitu wilayah dirampas Israel pada 1967.

Minggu lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dilaporkan berkeras mahu menguasai kawalan keselamatan ke atas semua kawasan di barat Sungai Jordan – meliputi wilayah-wilayah Palestin – dengan berkata: “Ia bercanggah dengan prinsip kedaulatan tetapi apa yang anda boleh lakukan.”

Sejak perang Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober tahun lalu, rejim Zionis membedil Gaza bertalu-talu sehingga meragut lebih 25,000 nyawa rakyat Palestin, setakat ini, menurut pegawai kesihatan semenanjung itu.

Sementara itu Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, mendakwa tindakan Netanyahu adalah kerana survival politiknya dengan mengorbankan kelangsungan hidup berjuta-juta rakyat Palestin bawah pendudukan haram Israel, dan keamanan serta keselamatan untuk semua.’

Al-Maliki menegaskan, sudah tiba masanya untuk Negara Palestin diterima masuk sebagai anggota penuh PBB.

Bagaimanapun, langkah itu memerlukan UNSC – di mana sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS) memegang kuasa veto – membuat cadangan berkenaan kepada Perhimpunan Agung PBB yang dibarisi 193 negara anggota.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment