Mesyuarat raja-raja bincang pentadbiran agama Islam

KUALA LUMPUR 22 Feb. –  Hal berkait pentadbiran agama Islam dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 yang berakhir di Istana Negara, hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad, berkata mesyuarat dua hari dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu juga membincangkan pelantikan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Dalam satu kenyhari ini, beliau berkata, selain itu perbincangan juga mengenai cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Polis (Pindaan) 2023 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung hal-hal kewarganegaraan.

“Beberapa perkara lain yang melibatkan pentadbiran agama Islam dan hal-hal di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), termasuk pelantikan Pengerusi MKI telah dibincangkan,” katanya.

Selain itu, Syed Danial berkata, Majlis Raja-Raja telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara,  Razarudin Husain dan pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Mohammad Ab Rahman.

Pada mesyuarat berkenaan, Sultan Selangor selaku pengerusi turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham  Abdul Taib Mahmud.

Baginda juga menzahirkan ucapan tahniah mengalu-alukan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak,  Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, seterusnya disahuti ucapan balas oleh Wan Junaidi.

Memandangkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 yang pertama kali dihadiri Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong, katanya, Sultan Selangor mewakili Majlis Raja-Raja menzahirkan titah tahniah kepada Seri Paduka dan seterusnya disahuti dengan titah balas Yang di-Pertuan Agong.

Turut berangkat ke mesyuarat itu ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Selain itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim; Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Yang di-Pertuan Agong turut berangkat pada mesyuarat hari kedua hari ini yang juga dihadiri Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Related posts

Leave a Comment