Penjawat awam baharu tiada pencen

BANGI 24 Jan. – Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen, sebaliknya akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen mereka tidak terjejas.

“Apa yang sudah dibincangkan dalam Kabinet tadi bahawa terdapat kekeliruan daripada kenyataan mengenai jawatan atas pengambilan baharu adalah perjawatan kontrak. Ia tidak bermaksud begitu.

“(Tapi) kontrak untuk satu tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tapi tidak berpencen. Iaitu mereka akan mencarum kepada KWSP dan kerajaan akan memberikan sumbangan sebagaimana lazim dilakukan kepada kakitangan swasta.

“Mana-mana yang layak, juga diberikan sumbangan Perkeso. Sebab itu langkah jangka panjangnya, penjawat awam yang baharu akan diambil cara begitu. Tapi yang sedia ada sekarang masih diteruskan, tetap dan berpencen. Saya ingin jelaskan, itu yang baru saja (tiada pencen),” katanya.

Beliau menjelaskan demikian pada sidang media sempena Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri ke Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) di sini hari ini.

Katanya, pendirian itu dibuat kerajaan selepas menilai bahawa menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda, akan mencecah RM120 bilion setahun.

“Tentunya ini akan memberikan bebanan jangka panjang kepada kerajaan khususnya Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) apabila portfolionya besar kemungkinan tidak mampu untuk membuat pelaburan bagi memberikan dividen atau pulangan sepatutnya,” katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam ketika ini sedang menerajui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA), yang akan menjadi dasar baharu kerajaan khususnya berkaitan kaedah berpencen penjawat awam.

Ketika ini, semua penjawat awam diberi dua skim pencen pilihan sama ada untuk menerima bayaran pencen tetap selepas bersara atau mencarum KWSP.

Minggu lalu, Laporan Interim 1 Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sudah pun diserah kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim oleh Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KKPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Semalam, media melaporkan kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Ketika ini, inisiatif kaedah baharu itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan, juga dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Langkah itu dimaklumkan Wan Ahmad Dahlan menerusi satu pekeliling di mana

inisiatif itu selaras dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment