Dos Ahad rendah, 389,641

PUTRAJAYA 9 Ogos – Sebanyak 389,641 dos diberikan semalam, angka yang rendah dalam tempoh 14 hari selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan kapasiti harian antara 400,000 hingga 500,000 dos sejak 26 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, individu yang menerima dos pertama adalah sebanyak 15,772,101 orang dan 8,770,336 orang menerima dos kedua.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin Covid-19 di negara ini kepada 24,542,437 dos sejak PICK bermula pada 24 Februari lalu hingga semalam.

Katanya, jumlah keseluruhan itu turut merangkumi data pelaporan manual antaranya menerusi program outreach vaksinasi di luar bandar.

Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dikongsi Dr Adham, menunjukkan sejumlah 37.5 peratus atau 8.77 juta penduduk dewasa di negara ini sudah menerima dos lengkap vaksin setakat semalam.

Selain itu, data berkenaan merekodkan 67.4 peratus atau 15.77 juta populasi dewasa di negara ini sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Mengikut data setiap negeri dan wilayah, jumlah penduduk dewasa yang menerima dos lengkap vaksin kekal didahului Labuan dengan 85.3 peratus atau 58,421 individu, disusuli Sarawak (74.4 peratus/1.52 juta).

Selain itu, dua negeri mencatatkan lebih 50 peratus penduduk dewasa sudah menerima dos lengkap vaksin, iaitu Negeri Sembilan (52 peratus/423,848) dan Kuala Lumpur serta Selangor (51.5 peratus/3.17 juta).

Perlis mencatatkan 48.4 peratus atau 87,714 penduduk, manakala Sabah pula menjadi negeri paling rendah merekodkan penerima dos lengkap vaksin dalam kalangan populasi dewasa dan satu-satunya mencatat bawah 20 peratus dengan hanya 17.1 peratus atau 471,145 penduduk.

Related posts

Leave a Comment