Penjawat awam diarah daftar sebelum 15 Feb

PUTRAJAYA 22 Jan. – Semua penjawat awam diarah mengemas kini maklumat masing-masing menerusi Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) selewat-lewatnya pada 15 Februari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, mengeluarkan arahan itu melalui surat pekeliling bertarikh 17 Januari lalu.

Surat pekeliling itu dihantar kepada Ketua Setiausaha semua kementerian, semua ketua jabatan peringkat persekutuan, setiausaha kerajaan negeri serta ketua badan berkanun di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.

“Perdana Menteri pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bil. 1/2024 pada 14 Januari 2024 meminta supaya semua penjawat awam mengemas kini maklumat dan data dalam sistem PADU dengan kadar segera, selewat-lewatnya pada 15 Februari 2024.

Sehubungan itu, adalah dimohon untuk memastikan seluruh warga kementerian dan agensi melakukan pendaftaran dan pengemaskinian di portal PADU melalui pautan https://padu.gov.my,” katanya menerusi pekeliling itu.

Menurut pekeliling itu lagi, Kementerian Ekonomi diberi tanggungjawab untuk memantau dan memastikan kelancaran proses pendaftaran terbabit.

PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu dan serentak dengan tarikh pelancaran itu, sistem PADU dibuka untuk membolehkan rakyat mendaftar dan mengemas kini maklumat individu dan isi rumah.

Antaranya berkaitan maklumat asas demografi, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima.

Objektif PADU adalah untuk menyediakan pangkalan data utama negara bagi penghasilan analitik berkala dan digitalisasi tanpa ketirisan, menggubal dasar dan proses membuat keputusan berpacukan data serta mengimbangi kedudukan fiskal menerusi pelaksanaan dasar secara bersasar.

Related posts

Leave a Comment