BEIRUT – Pasukan keselamatan kerajaan kehilangan kawalan ke atas bandar kedua terbesar Syria, Aleppo,semalam (Ahad), kali pertama sejak konflik saudara bermula.
Serangan pantas gabungan pemberontak yang dikuasai oleh golongan pejuang Islam itu memberikan tamparan hebat kepada Presiden Bashar al-Assad.
Gabungan pemberontak melancarkan serangan ke atas pasukan kerajaan yang disokong Iran dan Russia pada hari Rabu, hari yang sama gencatan senjata berkuat kuasa di Lubnan antara Israel dan Hizbullah.
Kumpulan jihad Hayat Tahrir al-Sham (HTS) dan puak bersekutu berkata, mereka kini “menguasai bandar Aleppo, kecuali kawasan kejiranan yang dikawal oleh pasukan Kurdish.
Ketua Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman berkata, buat pertama kali sejak perang saudara bermula lebih sedekad lalu, “bandar Aleppo kini berada di luar kawalan pasukan rejim Syria.
Pemerhati itu melaporkan bahawa pesawat Syria dan Russia melancarkan serangan maut pada Ahad untuk menyokong kerajaan.
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh di bandar itu, meningkatkan jumlah kematian awal daripada lima orang dalam serangan yang menyasarkan kawasan berhampiran universiti Aleppo.
Serangan udara Russia juga mengorbankan lapan orang awam, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, di kubu pemberontak di Idlib, menurut pemerhati itu.
Nnn
