Murung dorong kes bunuh diri

PUTRAJAYA 29 Jun – Pandemik Covid-19 memberi impak ketara ke atas kesihatan mental apabila jumlah kes bunuh diri sepanjang tahun lalu, meningkat kepada 631 kes berbanding 609 kes pada 2019.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 366 kes bunuh diri dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika dalam keadaan stress (tekanan) yang melampau serta isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.

Dalam kenyataannya hari ini, jika kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

“Disebabkan itu masyarakat diminta untuk lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga atau orang sekeliling dalam mengenalpasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri,” katanya.

Perubahan tingkah laku kepada individu adalah sentiasa  kelihatan sedih dan murung; Hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan; Kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa; 

Mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan-rakan;  Mengalami gangguan tidur dan selera makan;  Bertindak agresif dan kasar (abusive) kepada diri sendiri dan orang sekeliling; dan Menyalahguna alkohol dan dadah.  

Simptom lain adalah Menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga dan Menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.     

Dr Noor Hisham berkata, statistik Pusat Informatik Kesihatan, Kementerian Kesihatan untuk tempoh lima tahun (2010-2014) pula menunjukkan sejumlah 338 kematian di hospital-hospital kementerian adalah disebabkan oleh perbuatan mencederakan diri atau ‘intentional self-harm’.

Menurutnya, tingkah laku bunuh diri boleh berlaku akibat pelbagai faktor kompleks yang saling berkait antaranya gangguan mental terutamanya kemurungan, penyalahgunaan dadah dan substans, tragedi kehidupan seperti masalah kewangan, hilang pekerjaan, konflik hubungan (perpisahan, perceraian), kemiskinan, penyakit fizikal serta mempunyai sejarah bunuh diri dalam keluarga.

Dr Noor Hisham berkata tingkah laku bunuh diri meliputi spektrum idea bunuh diri, rancangan bunuh diri, cubaan bunuh diri dan aksi bunuh diri.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 menunjukkan prevalen idea bunuh diri dalam kalangan masyarakat dewasa Malaysia adalah 1.7 peratus, prevalen rancangan bunuh diri 0.9 peratus dan prevalen cubaan bunuh diri adalah 0.5 peratus.

Related posts

Leave a Comment